Setiap orang mempunyai impian dan cita-cita duniawinya.Tetapi adakah kita hidup di muka bumi Allah ini hanya kerana untuk melaksanakan impian dan cita-cita duniawi kita sahaja.

Rumah besar, kereta mewah, pangkat dan wang yang banyak.Faktor kesenangan menjadi keutamaan utama dalam senarai impian dan cita-cita duniawi kita.Mengapa kita sering menginginkan semua ini?

Semua ini berpunca dari situasi keadaan sekeliling yang mempengaruhi kita untuk mengejar dan memilikinya sebagai matlamat utama kehidupan.

Namun berapa ramaikah yang diantara kita yang hidupnya dikurniakan dengan kemewahan harta yang banyak tetapi masih tidak mendapat kebahagian yang diingini.Malah hidupnya sentiasa dipenuhi dengan hiburan yang melalaikan dalam erti kata untuk menghilangkan segala tekanan hidup yang dihadapinya.

Adakah ini yang kita inginkan wahai sahabatku?

Sudah tentu bukan ini yang menjadi matlamat kita.

Cuba kita renungi ayat 151 dari Surah Al-Baqarah (2:151).

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ

“Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu seorang Rasul(Muhammad) dari kalangan kamu yang membacakan ayat-ayat Kami, menyucikan kamu, dan mengajarkan kepadamu Kitab(Al-Quran) dan Hikmah(Sunnah), serta mengajarkan apa yang belum kamu ketahui.”

Disini kita dapat pahami bahawa Allah mengutuskan Baginda S.A.W untuk mentarbiah manusia dengan Al-Quran dan Sunnah.Proses tarbiah ini terdiri daripada pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran , penyucian jiwa dan proses mempelajari Al-Quran dan Sunnah.

Pada ayat yang berikutnya Allah berfirman:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلاَ تَكْفُرُونِ

“Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu.Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.

Allah mengingatkan kepada kita dengan proses tarbiah ini sahajalah yang membolehkan kita untuk mengingati Allah.Tanpa proses tarbiah kita tidak mampu untuk melaksanakannya.

Kita harus menyedari bahawa matlamat dijadikan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah(51:56) dan menjadi khalifah di muka bumi ini(2:30).Untuk melaksanakan matlamat ini , maka kita memerlukan proses tarbiah ini.Jalan untuk kita mendekati Allah ini tidak lain hanyalah dengan kita merelakan diri untuk ditarbiah.Dengan kita mengikuti proses tarbiah ini sahajalah yang akan menentukan bahagia atau tidaknya hidup kita di dunia dan akhirat.Semoga Allah memudahkan langkah kita untuk menjadi insan yang hidup dengan ditarbiah.